Ujian getir menanti JDT

Johor Bahru: Ujian getir menanti Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila melayani kunjungan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Walaupun masih mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang lima perlawanan liga, JDT yang dibimbing Hector Bidoglio harus berwaspada dengan corak permainan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner.

Malah Steinbruckner juga mengimpikan untuk kekal dengan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan dengan meraih dua kemenangan dan dua keputusan seri dan pastinya skuad Peteh itu akan turun habis-habisan dalam usaha mengejutkan Harimau Selatan.

Yang pasti Bidoglio bakal mempertaruhkan kesebelasan terbaik bagi memastikan momentum kemenangan tidak terjejas dan mengekalkan kedudukan tangga teratas liga namun mengakui aksi menentang TFC dianggap sukar

“Kami akan berdepan satu lagi tugas mencabar apabila melayani kunjungan pasukan yang sedang berada di prestasi terbaik dalam saingan liga namun kami perlu mengekalkan aksi permainan intensiti tinggi dalam pertembungan itu nanti.

“Kami akan mempertingkatkan lagi keupayaan tatkala beraksi di laman sendiri dan sokongan padu daripada penyokong amat ditagih bagi menambahkan kekuatan serta menyemarakkan lagi semangat juang di padang,” katanya.

sumber: HM

Justeru, pengendali kelahiran Argentina itu bakal menaruh sandaran kepada penyerang prolifik Bergson Da Silva untuk mengemudi jentera serangan dan kemungkinan Fernando Forestieri yang tampak pulih daripada kecederaan akan berada dalam kesebelasan utama.

Kelibat Arif Aiman Hanapi yang sering memberi impak dalam corak permainan skuad Harimau Selatan diharap mampu menjelmakan keputusan positif tatkala bakal beraksi di posisi sayap kanan dan dibantu sama ada Matthew Davies atau Shahrul Saad yang akan bermain di posisi bek kanan.