tekad tangkis ‘peluru’ JDT

KUALA TERENGGANU: Walaupun bakal berdepan ‘peluru’ Johor Darul Ta’zim (JDT), penjaga gol Terengganu FC (TFC), Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin tekad mempertahankan kubunya daripada dibolosi pemain lawan.

Jelas pemain berusia 25 tahun itu, dia sudah bersedia sepenuhnya untuk menjaga gawang sekiranya diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner.

TFC yang kekal dengan rekod tanpa kalah setakat ini selepas lapan perlawanan termasuk dalam saingan Piala FA, bakal berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat untuk berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi kelima Liga Super.

“Jika diberi peluang bermain, sudah pasti saya berazam untuk memperagakan aksi terbaik lebih-lebih lagi ianya bakal menjadi penampilan pertama saya menentang pasukan JDT itu.

“Saya juga harap dapat bantu pasukan dan elak pintu gol daripada dibolosi, pada masa sama turut mengharapkan barisan pertahanan dapat mengekang pergerakan dan asakan pemain lawan yang diakui begitu berbahaya.

“Bagi saya keputusan seri sudah memadai beraksi di tempat lawan sekali gus dapat mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super,” ujar pemain kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus itu ketika dihubungi.

sumber: BH

Ketika ditanya resepi utama bergelar penjaga gol utama skuad Penyu setakat ini, bekas penjaga gol skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu menjelaskan hanya mengikut perancangan dan tunjuk ajar barisan kejurulatihan.

“Saya tidak rasa bergelar penjaga gol nombor satu kerana dua lagi penjaga gol tidak kurang hebatnya, tapi ini mungkin rezeki saya selepas mengikut perancangan dan tunjuk ajar daripada barisan kejurulatihan sekali gus mampu menambah lagi minit permainan saya,” katanya.