Tamatkan kontrak pemain bernilai RM2.5 juta

KOTA BHARU: Pemain import, Chadrack Lukombe Muzungu menjadi pemain pertama ditamatkan kontrak oleh Kelantan Darul Naim (KDN) FC berkuat kuasa hari ini.

Penamatan kontrak bekas pemain kelab Maghribi, RS Berkane yang mempunyai tanda harga RM2.5 juta itu hasil persetujuan bersama kedua-dua pihak selepas tiga bulan beraksi bersama pasukan.

Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, perpindahan Muzungu tidak berjalan seperti dirancang selepas bekas pemain antarabangsa Congo itu mengalami kecederaan.

Katanya, Muzungu juga gagal menembusi skuad utama termasuk disisihkan pada tiga perlawanan terakhir Liga Super bulan ini.

“Pihak pengurusan ingin mengucapkan terima kasih kepada Muzungu atas usaha dan khidmat kepada pasukan dan kelab.

“Selamat maju jaya dalam karier bola sepak dan mendoakan kejayaan beliau,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

sumber: Bh

Rozi berkata, pengurusan turut melakukan perubahan drastik termasuk membawa masuk pemain baharu pada perpindahan kedua, bulan depan.