Selangor tiada pilihan

KUALA LUMPUR: Tiada tempat yang lebih baik untuk Selangor FC (SFC) bangkit selepas prestasi hambar dalam empat aksi terakhir selain di hadapan penyokong sendiri di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menentang Penang FC, malam esok.

Skuad bimbingan Nidzam Jamil itu boleh dikatakan berada dalam krisis prestasi apabila hanya menang satu daripada empat perlawanan terakhir dalam semua pertandingan meskipun membuka saingan musim ini dengan empat kemenangan berturut-turut.

Justeru, kebangkitan dengan apa keputusan sekalipun sememangnya amat ditagih penyokong setia mereka apatah lagi mereka yang menghimpun sembilan mata kini sudah jatuh ke tangga ketiga Liga Super selepas dipintas Sabah FC yang meraih kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC), semalam.

Selepas lima perlawanan Liga Super, mereka sudahpun ketinggalan enam mata di belakang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan keciciran mata sekali lagi akan terus mengecilkan peratusan mereka untuk terus menghambat skuad ‘Harimau Selatan’ sehingga penghujung musim ini.

Namun bukan itu yang harus menjadi fokus utama mereka kerana keciciran mata juga bermakna mereka mampu dikejar beberapa pasukan lain di bawah mereka yang kini hanya dibezakan setakat satu atau dua mata.

SFC belum lagi tewas dalam lima perlawanan di laman sendiri setakat ini namun ini bukan aksi yang mudah memandangkan Penang FC tampil dengan keyakinan tinggi dan momentum yang terbaik untuk menghadapi cabaran SFC.

Jika SFC gagal memperaga aksi yang lebih kemas, tidak mustahil mereka menjadi mangsa skuad ‘Harimau Kumbang’ yang seterusnya.

Sementara itu, satu lagi pertembungan menarik menemukan pasukan yang terpalit dengan isu tunggakan gaji iaitu KL City FC yang akan melayan kunjungan Sri Pahang FC (SPFC) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Skuad ‘Warga Kota’ membuktikan masalah gaji tidak mengganggu mereka apabila mengejutkan seteru tetangga, SFC 1-0 pada aksi terakhir liga dan semangat itu pasti dituntut dalam usaha mereka memburu kemenangan kedua berturut-turut di laman sendiri.

sumber : BH

Skuad Tok Gajah juga berdepan masalah prestasi apabila tidak meraih sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir dengan kemenangan tunggal mereka adalah ketika menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada aksi pembukaan liga, 11 Mei lalu.

Berdasarkan situasi semasa, KL City FC seharusnya tidak berdepan peluang untuk mengutip tiga mata sekali gus menempatkan diri dalam kelompok atasan liga.