Sedia sambar Olmo

MANCHESTER: Manchester City sedia menyaingi Barcelona dalam mendapatkan khidmat pemain RB Leipzig, Dani Olmo.

Pemain 26 tahun itu dilaporkan akan meninggalkan Leipzig pada musim panas ini selepas membantu Sepanyol memenangi Euro 2024, sekali gus menarik minat kelab-kelab gergasi Eropah.

City tidak begitu aktif dalam jendela perpindahan kali ini, dengan hanya bintang Brazil, Savinho menyertai mereka setakat ini, namun usaha ditingkatkan bagi mendapatkan Olmo.

Barcelona juga sedang berunding untuk menandatangani Olmo dan rakan sepasukan kebangsaannya, Nico Williams, tetapi belum ada kata putus.

Kelab Sepanyol itu perlu menjual beberapa pemainnya bagi mengumpul 50 juta pound (RM299.5 juta) untuk membayar klausa pelepasan Olmo, dan kelab Bundesliga berkenaan dikatakan sedia menjualnya pada harga yang sama.

Bagaimanapun Man City tidak berdepan sebarang masalah kewangan dan mampu mengatasi Barca. Kini terpulang kepada Olmo untuk menentukan masa depannya.

Pengendali City, Pep Guardiola berhati-hati dalam memilih pemain untuk memperkuat skuadnya selepas mereka memenangi Liga Perdana Inggeris buat kali keempat berturut-turut tetapi tewas pada final Piala FA dan gagal mempertahankan gelaran Liga Juara-Juara Eropah.

sumber: BH

Olmo antara pemain terbaik di Euro 2024 dan meledak tiga gol dalam aksi kalah mati menentang Jerman, Georgia dan Perancis sebelum final bertemu England.

Pemain sayap itu masih berbaki tiga tahun dalam kontraknya bersama Leipzig. Olmo adalah lulusan akademi Barcelona, LaMasia. – AGENSI