Perkembangan Terkini Faisal Halim

PEMAIN sayap Selangor FC, Faisal Halim ketika ini masih dalam proses rawatan fisioterapi untuk memastikan pergerakan tangan kirinya yang melecur akibat simbahan asid dapat pulih 100 peratus.

Perkembangan itu dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon yang turut memberitahu Faisal juga melakukan senaman menguatkan paru-paru untuk beliau mendapat kecergasan semula.

Menurutnya, pihak kelab juga memberikan ruang sepenuhnya untuk Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey untuk pulih sebelum kembali beraksi bersama pasukan.

“Memang Faisal sedang fokus kepada pemulihan beliau. Sekarang ini masih buat fisio sebab pergerakan tangan masih belum 100 peratus. Perkara ini mungkin ambil masa sedikit tetapi beliau sudah mula menjalankan aktiviti yang berkaitan.

“Perkara ini (bila beliau akan kembali beraksi) saya pun tak sempat dapat maklum balas daripada doktor. Susah nak cakap dan ia bergantung kepada berapa cepat proses pemulihan untuk mendapat fungsi penuh tangannya.

“Jika tangannya itu dapat segera pulih, maka dia akan dapat kembali bersama pasukan lebih awal. Buat masa ini kita ambil pendekatan memantau secara ‘day to day basis’,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini, Faisal yang juga pemain sayap kebangsaan menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.

Beliau mengalami kelecuran tahap empat dan tangan kirinya merupakan bahagian yang paling terjejas sehingga terpaksa menjalani beberapa pembedahan.

sumber: SH

Dalam pada itu, Johan Kamal turut memberitahu mood Faisal ketika ini sangat baik dan ceria terutama apabila dapat kembali menjalani senaman ringan di padang.

“Beliau juga dapat berjumpa dengan rakan sepasukan dan semangatnya sangat tinggi. Beliau sangat komited dalam pemulihan beliau.

“Dari semangat memang tak boleh dipersoalkan komitmen beliau cuma dari segi fizikal untuk dia pulih sepenuhnya dengan program pemulihan tersebut,” katanya.