KUALA LUMPUR: Ketiadaan penyerang berbisa, Ifedayo Olusegun yang mengalami demam sekali gus tidak dapat diturunkan untuk berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya ditampung dengan baik oleh penyerang gantian, Shahrel Fikri Md Fauzi.
Ini sekali gus menyaksikan percaturan pengendali, P Maniam untuk menurunkan bekas penyerang Selangor FC (SFC) itu membuahkan hasil apabila dia meledak gol pembukaan ketika berdepan skuad Harimau Selatan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), malam tadi.
Maniam menjelaskan, mereka terpaksa melupakan khidmat Ifedayo yang mengalami demam kuat sekali gus memberi peluang kepada Shahrel untuk membarisi kesebelasan utama dan meletakkan penyerang berusia 29 tahun itu di posisi sayap kanan.
“Ifedayo demam dan sakit badan jadi kita kena faham, sebab itulah dia tiada dalam pasukan dan kita bagi peluang kepada Shahrel. Kita boleh nampak dia efektif di sayap kanan dan dia bermain dengan baik apabila berjaya menjaringkan gol juga.
“Walaupun kita kehilangan Ifedayo tetapi kita ada pemain lain yang boleh menggantikannya seperti Shahrel, Bruno Suzuki dan pemain lain yang ada kualiti tertentu,” katanya.
Dalam masa sama, Maniam turut menyifatkan kejayaan mengikat juara bertahan itu dengan keputusan 1-1 sebagai satu pencapaian yang besar memandangkan dia sedar berdepan JDT bukanlah satu perlawanan yang mudah.
“Sudah tentu bukan sahaja saya tetapi barisan kejurulatihan, pemain dan pengurusan gembira dengan keputusan ini. Pemain menunjukkan aksi yang baik jadi mereka perlu terus konsisten dengan apa yang ditunjukkan.
“Bukan mudah untuk menentang pasukan seperti JDT yang ada pemain yang bagus. Kita boleh nampak yang mereka terus menukar pemain selepas ketinggalan dan mereka memang mahu menang.
sumber: BH
“Kita kena beri kredit kepada semua pemain PDRM FC yang menunjukkan komitmen 100 peratus bagi perlawanan ini. Kita raikan sebentar pencapaian ini dan kemudian fokus untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Keputusan 1-1 itu menyaksikan anak buah Maniam menjadi pasukan pertama berjaya menyekat skuad Harimau Selatan itu daripada mengutip mata penuh selepas tujuh perlawanan liga setakat ini.