Peluang Pearly-Thinaah lakar sejarah baharu

KUALA LUMPUR: Untuk menjadi yang terbaik, kita perlu menewaskan yang terbaik!

Itu satu lagi cabaran buat beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah apabila diundi menentang pemenang pingat gangsa edisi lalu, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan pada aksi suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024, esok.

Atas kertas, gandingan Korea itu memiliki sedikit kelebihan apabila menang dalam satu-satunya pertemuan dengan Pearly-Thinaah ketika saingan peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir BWF pada 2021.

Kali ini, dengan tiket ke separuh akhir menjadi pertaruhan, suasana dan tekanannya pasti berbeza.

Meskipun So Yeong-Hee Yong memiliki pengalaman beraksi di pusingan kalah mati Olimpik sebelum ini tetapi Pearly-Thinaah juga tidak kurang hebatnya.

Mereka sudah membuktikan tiada apa yang mustahil dilakukan di pentas Olimpik apabila berjaya melepasi halangan ‘kumpulan maut’.

Dirumuskan berdepan misi mustahil di Paris kali ini, mereka menterbalikkan ramalan awal itu dengan kejayaan mara ke suku akhir.

Pearly-Thinaah tewas di tangan gandingan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dalam aksi pembukaan Kumpulan A.

Namun, pasangan ranking ke-12 dunia itu kembali bangkit mencatat kemenangan dalam dua baki perlawanan kumpulan dengan menumbangkan bekas juara dunia dan beregu keenam dunia dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dan pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.

Bagi Pearly, dia dan Thinaah sememangnya sudah bersedia untuk menempuh satu lagi cabaran sukar di Olimpik Paris kali ini.

“Kami baru sahaja keluar daripada kumpulan yang sukar. Sebelum Olimpik lagi, kami memang sudah buat persiapan untuk menghadapi perlawanan yang sukar.

“Kami hanya perlu kekal fokus, tenang dan teruskan momentum yang sudah dibina ini,” kata Pearly.

Sementara itu, Thinaah menyifatkan komunikasi dan sokongan antara satu sama lain mampu menjadi penentu dalam usaha mereka mencatat kemenangan dan layak ke separuh akhir.

“Sebagai pasangan, perkara paling penting adalah komunikasi dan sokongan antara satu sama lain.

“Jika seorang rasa gementar, seorang lagi perlu tenangkannya untuk dapatkan semula keyakinan,” kata Thinaah.

Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita kedua negara yang berjaya melangkah ke suku akhir di pentas Sukan Olimpik selepas gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada edisi 2016 di Rio de Janeiro.

Bagaimanapun, Vivian-Khe Wei ketika itu gagal ke separuh akhir apabila tewas di tangan pasangan Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.

Justeru, Pearly-Thinaah berpeluang untuk mencipta sejarah menjadi beregu wanita pertama negara sekiranya berjaya melangkah ke separuh akhir.

sumber: BH

Jika mereka berjaya mengatasi gandingan Korea berkenaan, pemenang emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu bakal diuji lebih hebat apabila sekali lagi berdepan Qing Chen-Yi Fan di separuh akhir.

Atas kertas, pasangan China itu dijangka tidak mempunyai masalah menyingkirkan wakil Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dalam satu lagi aksi suku akhir acara beregu wanita.

Dua lagi aksi suku akhir akan membabitkan pasangan nombor dua dunia dari Korea, Baek Ha Na-Lee So Hae bertemu Liu Cheng Shu-Tan Ning manakala wakil Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dijadual membuat perhitungan dengan pasangan Denmark, Maiken Fruergaard-Sara Thygesen.