Negeri Sembilan buat Terengganu FC ‘cemas’

Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri selepas menundukkan Negeri Sembilan FC (NSFC) 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.

Bagaimanapun, TFC yang mendominasi permainan dikejutkan dengan jaringan pertama pelawat pada ke-15 menerusi tandukan Miguel Martinez untuk NSFC mendahului 1-0.

Jaringan itu terhasil selepas pemain kelahiran Sepanyol itu mendapat umpanan menarik daripada rakan sepasukannya, Takumi Sasaki sebelum tandukannya gagal diselamatkan penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Tersentak jaringan itu, TFC kendalian Tomislav Steinbruckner menggandakan asakan dengan dua percubaan tepat menerusi Marin Pilj dan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim, namun digagalkan penjaga gol, Muhamad Aqil Abdul Razak.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil selepas sepakan percuma menarik kapten, Safawi Rasid pada masa kecederaan babak pertama menerjah jaring untuk kedudukan 1-1 sebelum menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, TFC tidak menunggu lama untuk mendahului skuad kendalian Azzmi Ab Aziz apabila bola hantaran silang Akhyar Rashid mudah ditanduk pemain gantian, Nnabuike Chukwu pada minit ke-48 untuk TFC mendahului 2-1.

Jaringan itu tidak bertahan lama apabila NSFC menyamakan kedudukan 2-2 menerusi rembatan deras Jacque Faye berpunca aksi kelam kabut dalam kotak penalti.

sumber: BH

Pada minit ke-58, TFC kembali di depan selepas bola rembatan leret Akhyar yang mendapat umpanan daripada Pilj menerjah jaring gol untuk pasukannya mendahului 3-2 dan kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.