Kuala Terengganu: Penyerang Terengganu FC (TFC), Engku Muhammad Nur Syakir Engku Yacob sedia menggalas tugas ditinggalkan Safawi Rasid apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Jumaat ini.
Jelas pemain kebangsaan itu, walaupun sedar kekuatan skuad gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu, jika diberi
peluang oleh ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner, dia tekad memperagakan aksi terbaik.
“Jika diberi peluang, sudah pasti saya akan menyajikan persembahan terbaik bagi membantu pasukan
sekurang-kurangnya mengutip satu mata di tempat lawan, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah.
“Namun saya sedar ia bukan semudah itu, lagipun JDT yang kini memimpin carta liga pastinya mahu melebarkan lagi rekod kemenangan.
“Apapun, dalam sukan bola sepak pelbagai kemungkinan boleh terjadi, janji kami perlu beraksi sebaik mungkin sehingga ke wisel penamat ditiupkan pengadil,” ujar pemain berusia 25 tahun itu ketika dihubungi.
Berdasarkan prestasi semasa, pemain berketinggian 1.75 meter itu dijangka bakal mengisi posisi ditinggalkan Safawi selepas kapten TFC itu tidak dapat beraksi menentang JDT kerana berstatus pemain pinjaman dan nasib sama turut dialami seorang lagi penyerang, Akhyar Rashid.
Selain Syakir, dua lagi pemain sayap menyerang, Nor Hakim Hassan dan pemain muda meningkat naik, Muhammad Syahmi Zamri dijangka bakal disenaraikan dalam kesebelasan utama.
sumber: HM
Berdasarkan rekod dalam saingan Liga Super pada musim lalu, skuad Penyu tewas 0-2 pada aksi pertama di Stadium Sultan Ibrahim dan 1-3 pada aksi kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Manakala pada aksi final Piala Malaysia musim lalu, skuad JDT meneruskan rentak kemenangan ke atas TFC selepas merangkul kejuaraan menerusi kemenangan 3-1.