Kuala Terengganu: Langkah Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd menyediakan ruangan khas tempat duduk wanita bagi mengelak percampuran dengan penonton lelaki di dalam stadium mendapat reaksi positif dalam kalangan peminat setia pasukan itu.
Tinjauan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi mendapati peminat kaum Hawa menyambut baik inisiatif berkenaan dengan menyifatkan ianya sebagai satu penghargaan kepada mereka.
Seorang peminat, Nurfarahdilla Nadia Zabidi, 23 berkata, inisiatif itu bukan sahaja sebagai penghargaan buat peminat wanita malah ianya memberikan keselesaan ketika menyaksikan perlawanan.
“Inisiatif dilaksanakan pihak TFC dengan mewujudkan pengasingan tempat wanita dan keluarga begitu bermakna buat kami terutama ketika perlawanan penting yang sudah pasti dibanjiri ramai peminat.
“Sebagai seorang peminat TFC sejak di bangku sekolah lagi, memang saya akan turun ke stadium, jika sebelum ini agak tidak selesa apabila bercampur tempat duduk dengan penyokong lelaki kerana ada segelintir penyokong yang nakal membuatkan kami tidak selesa.
“Dengan pengasingan tempat duduk ini, kami dapat menyaksikan perlawanan dengan selesa selain tidak bimbang jika berlaku perkara yang tidak diingini,” ujarnya ketika ditemui.
Bagi seorang lagi peminat setia TFC, Mohd Ariffin Yusof, 42, dia juga menyambut baik langkah berkenaan bagi mengelak percampuran antara peminat lelaki dan wanita selain keselesaan.
“Namun saya harapkan ada pengawasan daripada pihak stadium ataupun TFC bagi memastikan tempat duduk berkenaan hanya khas kepada wanita dan keluarga yang membawa anak-anak,” katanya.
sumber: HM
Semalam ketika aksi Liga Super membabitkan pertemuan dengan Negeri Sembilan FC, pihak TFC bersama pengurusan stadium buat pertama kali memperkenalkan pengasingan bagi tempat duduk penonton wanita dan lelaki.
Walau bagaimanapun semua tempat duduk di dalam stadium bebas diduduki oleh semua peminat dan tidak diwajibkan untuk duduk di kawasan khas wanita yang disediakan sahaja.