Kuala Lumpur: “Semangat kenegaraan pemain negara terlalu nipis, mereka tidak meletakkan keutamaan kepada skuad kebangsaan di tempat sepatutnya.”
Itu antara luahan bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang seakan-akan begitu terkilan dan kecewa apabila terdapat segelintir pemain gagal memberikan jiwa dan raga sepenuhnya kepada pasukan negara.
“Sebaliknya pemain yang dikatakan profesional ini lebih memilih untuk sumpah taat setia dan berikan yang terbaik kepada kelab mereka wakili sehingga menimbulkan kebingungan dalam dirinya.
“Jelas pengendali dari Korea Selatan itu, pemain seharusnya lebih bijak dalam soal ini dan semangat cintakan negara sepatutnya lebih tinggi daripada segalanya.
“Saya tidak berjaya dalam misi menanam semangat patriotisme dalam kalangan pemain negara, semangat kenegaraan pemain negara terlalu nipis, mereka tidak meletakkan keutamaan kepada skuad kebangsaan di tempat sepatutnya.
“Bagi saya ini sesuatu yang hilang dan saya rasa tidak berjaya capai, kita perlu fikir kepentingan semangat patriotisme berjuang untuk negara.
“Saya tidak mahu bercakap banyak kerana mereka pemain profesional, saya hanya mahukan lebih komitmen dalam patriotik dan itu yang saya tekankan, saya rasa kita perlukan lebih perkara itu,” kata Pan-gon dalam temu bual bersama Astro Arena baru-baru ini.
Tambahnya, selepas dua tahun empat bulan membimbing pasukan negara, Pan-gon melihat terdapat beberapa pemain muda negara yang mempunyai kualiti untuk terus mencipta nama dalam arena bola sepak.
“Malaysia ada berpotensi besar (untuk berjaya) kerana terdapat banyak pemain bintang yang akan menyerlah seperti Akhyar Rashid, Arif Aiman dan Safuwan Mazlan. Mereka ini pemain muda sangat berpotensi.
sumber: HM
“Saya tidak rasa hanya disokong tetapi saya rasa dicintai di sini (Malaysia), saya hargai penyokong. Saya tidak akan melupakan apa yang telah kita kecapi di (Stadium Nasional) Bukit Jalil. Ultras Malaya, pihak media dan kerajaan perlu konsisten. Saya akan doakan skuad negara untuk terus berjaya,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan Kim Pan-gon secara rasmi meletakkan jawatan selaku pengendali skuad Harimau Malaya dan beliau beranggapan sepanjang tempoh berkenaan sudah banyak kejayaan dikecapi dan dirinya mengakui puas membawa pasukan negara dengan melakar pelbagai kejayaan.