Kuala Lumpur: Kejayaan ‘menggari’ skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super malam tadi nyata menghadirkan 1000 kepuasan buat pasukan PDRM FC.
Menurut pengendali pasukan, P Maniam, beliau tidak menyangka anak didiknya mampu memberi cabaran bermakna hingga berjaya mengikat juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu di halaman sendiri.
“Sebagai jurulatih, sudah tentu saya gembira. Bukan saya seorang sahaja, barisan kejurulatihan, pemain dan pihak pengurusan.
“Ini satu pencapaian membanggakan buat PDRM di mana kita memperoleh satu mata di Selayang,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu, PDRM terlebih dulu mendahului hasil rembatan padu Shahrel Fikri seawal minit ke-22 sebelum skuad Harimau Selatan bangkit mengikat kedudukan menerusi Oscar Arribas di minit 33.
Mengulas tentang aksi itu, Maniam akui JDT seolah tampak keletihan dan itu memudahkan tugas pemainnya sepanjang aksi.
sumber: HM
“Kita boleh melihat pemain JDT seperti keletihan, ini pandangan saya sebagai jurulatih dan mereka tidak boleh memberikan aksi yang maksimum kerana mereka telah bermain banyak perlawanan”.