Kedudukan terkini KL City FC selepas menewaskan Sabah FC

KUALA LUMPUR: KL City FC merakam kemenangan ketiga musim ini sekali gus melonjak ke tangga ketiga Liga Super selepas menewaskan Sabah FC 3-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan Miroslav Kuljanac itu melebarkan rekod tanpa kalah kepada empat perlawanan dan menyekat momentum Sabah FC yang sebelum ini berjaya meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC).

Pada aksi itu, KL City FC tampak lebih banyak mengasak pelawat di awal permainan dan satu peluang hadir pada minit ke-17 menerusi rembatan deras Haqimi Azim Rosli yang berjaya ditutup pertahanan Sabah FC.

Sabah FC dirundung malang apabila Rawilson Batuil dilayangkan kad merah namun KL City FC terlepas peluang mendahului permainan apabila sepakan penalti Paulo Josue diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat di hujung babak pertama.

Jaringan sendiri Ko Kwang Min pada masa tambahan babak pertama membolehkan KL City FC mendapat gol pembukaan yang dicari sekali gus menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan selepas 45 minit pertama.

Bersambung babak kedua, Josue menebus kegagalan sepakan penalti apabila sepakan percuma yang diambil dengan cantik berjaya menewaskan Khairul Fahmi untuk gol kedua KL City FC pada minit ke-61.

sumber: BH

KL City FC mencipta beberapa lagi peluang dan menambah gol ketiga menerusi penyudah Zhafri Yahya pada minit ke-87.

Selepas ini, KL City FC akan menentang Terengganu FC sementara Sabah FC akan berdepan Sri Pahang FC (SPFC) di tempat lawan, minggu depan.