KDA FC terpaksa berpuashati

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman (KDA FC) terpaksa berpuashati dengan keputusan seri selepas terikat 1-1 dengan Kuching City FC (KCFC) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Beraksi di hadapan kira-kira 4,723 penonton, skuad Sang Kenari memulakan percubaan bahaya ke gawang KCFC melalui percubaan Habib Haroon yang menerima hantaran daripada Evenezer Assifuah pada minit ke-15, namun percubaannya sedikit tersasar di kiri gawang KCFC.

Seminit kemudian, penyerang Sang Kenari, Milos Gordic pula melepaskan peluang terbaik di depan gol.

Skuad KCFC kendalian Aidil Sharin cuba bangkit dengan percubaan bahaya pada minit ke-27 oleh Nurshamie Iszuan yang melakukan percubaan di hadapan gawang Kedah namun berjaya disekat pemain pertahanan Ariff Farhan.

Ariff Farhan sekali lagi menidakkan peluang KCFC dengan mengeluarkan bola yang hampir melepasi garisan gawang Kedah seminit kemudian.

Kedah kembali melancarkan serangan melalui Assifuah pada minit ke-37 dengan satu cubaan menarik dan hampir menewaskan penjaga gol KCFC, Shahril Saari namun percubaannya itu terlebih dahulu disahkan ofsaid oleh penjaga garisan.

Memasuki babak kedua, Kedah terus memburu gol pembukaan melalui rembatan pemain sayap, Sony Norde pada minit ke-51 namun percubaannya itu mudah dinafikan Shahril.

sumber: BH

Percubaan Kedah akhirnya membuahkan hasil apabila tandukan pemain tengahnya Hasbullah Abu Bakar berjaya memecah kebuntuan gol pada minit ke-59.

Di penghujung babak kedua, KCFC memperoleh sepakan penalti selepas Kipre Tcheche dijatuhkan Irfan Zakaria dan kesempatan itu diambil penyerang Jordan Mintah untuk gol pertama KCFC sekali gus mengikat Kedah 1-1.