JDT meraih kemenangan keenam berturut-turut

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka, Johor Darul Ta’zim (JDT) merakam kemenangan rutin di Liga Super selepas menundukkan Terengganu FC (TFC) 4-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Ini menyaksikan skuad bimbingan Hector Bidoglio itu meraih kemenangan keenam berturut-turut dalam liga selain meneruskan rekod tanpa kalah dalam semua pertandingan setakat ini.

Pada aksi terbabit, tuan rumah hanya memerlukan enam minit untuk membuka jaringan apabila rembatan deras Heberty Fernandes membolosi gawang kawalan Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Pelawat berdepan malang berganda pada minit ke-27 apabila bukan sahaja memberikan penalti kepada JDT selepas Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili menjatuhkan Bergson da Silva di hadapan gawang mereka, malah Ubaidullah turut dilayangkan kad merah oleh pengadil Fitri Maskon.

Skuad Penyu terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas kad merah dilayangkan kepada Ubaidullah apabila Fitri meneliti semula insiden itu menerusi monitor Video Bantuan Pengadil (VAR).

Bergson tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-32 untuk meletakkan JDT mendahului dengan dua gol sehingga tamat babak pertama.

Berkelebihan seorang pemain dimanfaatkan sepenuhnya JDT untuk terus mendominasi permainan dengan mereka mudah mematahkan beberapa siri serangan yang cuba dilancarkan TFC.

sumber: BH

JDT berjaya menambah gol ketiga yang juga gol kedua peribadinya pada minit ke-64 selepas menanduk masuk hantaran lintang Juan Muniz untuk menambah derita pelawat.

Bergson melengkapkan hatriknya pada minit akhir perlawanan selepas berjaya menyambar percubaannya yang sebelum itu terkena palang untuk melengkapkan kemenangan bergaya 4-0 buat JDT di laman sendiri.