Johor Bahru: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) harus tampil dengan percaturan lebih ampuh apabila melayani kunjungan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.
Walaupun JDT menang tipis 2-1 ke atas skuad kendalian Nafuzi Zain pada aksi separuh akhir pertama di Alor Star, 19 Julai lalu, namum kedudukan itu belum selamat buat pengendali JDT, Hector Bidoglio yang perlu merencah resepi yang lebih padu untuk meloloskan diri ke final Piala FA musim ini.
Ditambah kegagalan meraih kemenangan dalam aksi Liga Super selepas terikat 1-1 dengan PDRM FC, 31 Julai lalu, ia tampak beri impak buat barisan pemain yang harus segera bangkit untuk kembali beraksi corak permainan berintensiti tinggi.
“Setiap perlawanan yang diharungi, kami perlu perbaiki tidak kira berdepan dengan pasukan yang kuat atau lemah, kerana kami anggap semua pasukan yang bersaing di liga adalah pasukan hebat dan perlu berwaspada penampilan mereka.
“Kami akan berdepan Kedah pada aksi separuh akhir kedua dan ia tetap perlawanan sukar bagi kami tapi dengan kelebihan beraksi di laman sendiri dan di depan penyokong kami bakal menyuntik semangat pemain untuk berjuang dalam perlawanan itu nanti.
“Apapun, episod yang saya anggap duka di Stadium Selayang selepas seri dengan PDRM FC tampak segera dilupakan pemain, malah mereka memberi fokus 100 peratus bagi menghadapi aksi separuh akhir kedua nanti,” katanya.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Argentina itu masih berahsia mengenai kesebelasan pemain yang bakal diturunkan pada pertembungan `hidup dan mati’ skuad Harimau Selatan untuk memburu slot ke final dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala FA.
sumber: HM
Namun jika mengikut percaturan Bidoglio nama Bergson Da Silva dan Arif Aiman Hanapi akan tetap menjadi pilihan dan ramai peminat JDT berharap kelibat Fernando Forestieri yang berehat lama akibat kecederaan dapat diturunkan dalam perlawanan itu nanti.
“Saya optimis siapa sahaja yang akan diturunkan akan beri yang terbaik dan tiada faktor keletihan yang menggangu perancangan pasukan sebaliknya kesemua pemain yang berada di JDT ingn beraksi dalam setiap perlawanan dan kami harus sentiasa bersedia,” kata Bidoglio