Hasrat untuk memperbaiki kedudukan berkecai

KOTA BHARU: Hasrat Kelantan Darul Naim (KDN) FC untuk memperbaiki kedudukan dalam liga berkecai apabila dimalukan Perak FC 1-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu.

Terlebih dahulu, tuan rumah bermula garang apabila membuat beberapa asakan di gawang pelawat.

Seawal minit ketiga, kapten KDN FC, Oday Kharoub hampir membuka jaringan tuan rumah namun bola melambung tinggi melepasi tiang gol.

Enam minit berselang, Mohd Irwan Syazmin Wahab membuat percubaan namun bola tepat ke dakapan penjaga gol pelawat, Mohamad Ramdhan Ab Hamid.

Lorongan pemain sayap KDN FC, Mohamad Fazrul Amir Md Zaman melepasi perangkap ofsaid lawan hampir memberi gol pertama buat skuad Kijang Emas namun bola sekali lagi melepasi tiang.

Pada minit ke-27, Perak menerima layangan kad kuning pertama apabila kapten pasukan, Luciano Guaycochea membuat terjahan keras.

Pelawat akhirnya membuka jaringan menerusi gerakan solo Muhamad Firdaus Saiyadi yang membuat sepakan terus menewaskan Khatul Anuar Md Jalil minit ke-43.

sumber: BH

Pelawat terus menuai tuah apabila menerima sepakan penalti hasil tindakan Kim Likwan menjatuhkan Wan Zack Haikal dengan penalti disempurnakan Luciano pada minit ke-56 untuk gol kedua The Bos Gaurus.

Luciano terus menjadi watak pemusnah apabila menjaringkan gol ketiga Perak pada minit ke-80 menerusi rembatan deras dalam kotak penalti.

Luka tuan rumah sedikit terubat dengan rembatan pemain gantian, Muhamad Syahir Ab Rashid pada minit ke-87 menembusi gawang lawan untuk gol tunggal KDN FC.