Kuala Lumpur: Bekas pengendali skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo sedia berunding dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jika benar khidmatnya diperlukan.
Perkara itu dinyatakan ejen kepada Hang-seo iaitu Lee Dong-jun kepada media Korea Selatan selepas FAM menerusi Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan Hang-seo antara jurulatih yang berada dalam radar badan induk itu.
Jelas Dong-jun, sebarang perbincangan perlulah melaluinya terlebih dahulu sebelum ia dipertimbangkan oleh Hang-seo.
“Jika Malaysia berminat dengan Park (Hang-seo), mereka perlu membuat tawaran kepada saya dahulu.
“Selepas itu barulah saya akan membincangkannya dengan Park untuk dipertimbangkan,” katanya.
Ujarnya lagi, dia sememangnya ada berkomunikasi dengan Hamidin, namun tidak membincangkan tawaran membabitkan Hang-seo.
Justeru, beliau menolak dakwaan segelintir pihak yang mendakwa Hang-seo sendiri tampil menawarkan diri atau FAM menyatakan hasrat mengikat jurulatih itu.
“Saya ingin mengulangi sama sekali tidak benar dakwaan bahawa Park menyatakan hasrat untuk pergi ke Malaysia atau memohon jawatan itu,” katanya.
Sebagai rekod, Hang-seo antara calon pilihan untuk menggantikan kerusi panas ditinggalkan bekas jurulatih, Kim Pan-gon pada Julai lalu.
Skuad Harimau Malaya ketika ini dibimbing jurulatih dari Sepanyol, Pau Marti Vicente sehingga Disember ini dan jika prestasi pasukan negara memberangsangkan kemungkinan Vicente akan terus kekal melatih pasukan sehingga Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula Mac tahun depan.