dikaitkan ganti Pan Gon

KUALA LUMPUR: Nama bekas pengendali pasukan kebangsaan Vietnam, Park Hang Seo terus hangat dikaitkan sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Media Vietnam, Bongdaplus dalam laporan mereka mendakwa pengendali dari Korea Selatan itu sebagai antara calon utama bagi menggantikan tempat Kim Pan Gon.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagaimanapun mungkin tidak akan tergesa-gesa untuk mencari pengganti Pan Gon selepas melantik Pau Marti Vicente sebagai pemangku ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Meskipun dianggap sebagai perancangan jangka pendek, badan induk itu pasti akan menilai keupayaan Vicente terutama pada kejohanan Pestabola Merdeka, September depan dan mungkin juga hingga Piala ASEAN hujung tahun ini.

Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga dilaporkan berkata bahawa Hang Seo pernah menyatakan minat untuk membimbing Harimau Malaya.

Pengendali berusia 66 tahun itu kini bertindak sebagai penasihat kelab Bac Ninh FC di Vietnam dan dia turut dikatakan menjadi buruan pasukan kebangsaan Kemboja.

Pada 16 Julai lalu, Pan Gon mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta merta kerana komitmen peribadi, biarpun kontraknya dengan FAM masih berbaki hingga Disember 2025.

Staf kejurulatihan lain iaitu penolong jurulatih, Park Bobae; jurulatih penjaga gol, Cho Junho; jurulatih kecergasan, Jihyeon Park dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun bagaimanapun akan terus kekal berdasarkan kontrak masing-masing.

sumber: BH

Semalam, jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin dalam laporkan BH Sukan menganggap Hang Seo sebagai individu yang sesuai untuk meneruskan legasi Pan Gon.

“Kalau tanya sama ada Hang Seo (sesuai), kita kita tengok kadang kala ada jurulatih berjaya di pasukan A tetapi tak tentu dia berjaya di pasukan B.

“Cuma kalau ikut pencapaian, memang Hang Seo mengangkat Vietnam ke tahap yang lebih baik,” kata Sulaiman yang juga Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).