KUALA TERENGGANU: Selepas hampir seminggu ‘mengunci mulut’, akhirnya peminat setia Terengganu FC (TFC) meluahkan kekecewaan berhubung mutu pengadilan pertemuan TFC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super Jumaat lalu.
Presiden Kelab Penyokong Bolasepak TFC, Mohd Isa Che Ariffin berkata, insiden memalukan layangan kad merah ‘percuma’ kepada pertahanan TFC, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili begitu sukar untuk diterima lebih-lebih lagi mutu bola sepak negara semakin meningkat.
Malah tambahnya langkah pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mula memperkenalkan video bantuan pengadil (VAR) pada musim ini sepatutnya boleh memperkemaskan mutu pengadilan.
Bagaimanapun jelas Mohd Isa, apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana ada pasukan seperti TFC bagaikan dianiaya dek ‘aksi’ tidak konsisten pengadil yang dilihat kurang ilmu ketika menjatuhkan hukuman biarpun dibantu VAR.
“Sejujurnya kami penyokong setia TFC begitu terkilan dengan mutu pengadilan Fitri Maskon yang dilihat gagal menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin.
“Jika dilihat penalti yang diberikan kepada pasukan lawan terlalu mudah kerana pengadil mendakwa kesalahan pertahanan TFC, malah lebih parah layangan kad merah yang diterima Muhammad Ubaidullah begitu mudah biarpun ulang tayang VAR tidak jelas.
“Situasi ini bukan sahaja merosakkan permainan selain strategi permainan TFC sedikit terjejas kerana terpaksa bermain dengan sepuluh pemain, malah kami peminat yang datang dari jauh juga turut kecewa dengan mutu pengadilan Fitri.
“Tidak keterlaluan boleh dirumuskan kami peminat setia bagaikan hilang kepercayaan terhadap pengadil yang bertugas pada malam itu serta VAR yang jelas berat sebelah selain ‘membunuh’ semangat pemain.
“Contoh lain insiden yang berlaku kepada penyerang TFC, Ismaheel Akinade tidak diambil tindakan tegas pengadil biarpun pemain itu mengalami kecederaan.
sumber: BH
“Kami harap pengadil itu (Fitri) diambil tindakan yang sewajarnya oleh pihak FAM kerana ianya bukan sahaja boleh merosakkan mutu kepengadilan dan menjatuhkan imej bola sepak negara, tapi boleh membuatkan kami peminat berasa muak,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Muhammad Ubaidullah dilayangkan kad merah selepas didakwa menolak penyerang JDT, Bergson Da Silva pada minit ke-27 yang menyaksikan Harimau Selatan diberikan sepakan penalti sebelum menang 4-0.