Kuala Lumpur: Kem badminton negara boleh mengucapkan selamat tinggal kepada pingat emas sukan Olimpik Paris 2024 selepas wakil tunggal Malaysia Lee Zii Jia tewas 14-21,15-21 kepada pemain perseorangan Thailand Kunlavut Vitidsarn, sebentar tadi.
Pada aksi separuh akhir berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris, menyaksikan Zii Jia yang berada di ranking ketujuh dunia kerap melakukan kesilapan mudah hingga memberi ruang dan peluang kepada Kunlavut mengutip mata.
Walaupun pada set pertama Kunlavut yang juga juara dunia mengalami sedikit kecederaan hingga memaksa dia menerima rawatan susulan namun Zii Jia gagal mengambil kesempatan itu sebelum tewas 14-21.
Zii Jia yang diharapkan mampu bangkit dalam set kedua dilihat agak bekerja keras untuk memungut dalam usaha membawa perlawanan ke set penentuan.
Namun, Kunlavut dilihat lebih tenang dan mampu mengawal perlawanan menjarakkan kedudukan sebelum memastikan slot final miliknya menerusi kemenangan 21-15.
Mengikut rekod, Zii Jia mara ke separuh akhir Olimpik apabila menewaskan wakil Denmark, Anders Antonsen dalam pertembungan suku akhir.
Zii Jia masih berpeluang untuk sekurang-kurangnya membawa pulang pingat gangsa untuk negara apabila dijangka bertemu wakil dari Denmark Victor Axelsen atau perseorangan India Lakshya Sen.
sumber: HM
Axelsen dan Sen akan bertemu dalam satu lagi pertarungan separuh akhir dengan pemain yang menang akan berentap dengan Kunlavut di pentas final esok.