Kuala Lumpur: Kesilapan individu dan kerapuhan barisan pertahanan menyebabkan Terengganu FC terpaksa mengigit jari apabila tewas 1-4 dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berkata, Selangor FC memang menampilkan prestasi yang cukup cemerlang dan mereka tidak menang atas faktor nasib.
Jika pemainnya dapat mengelak kesalahan yang tidak seharusnya terjadi, sudah pasti skuad Penyu mampu memberi cabaran lebih sengit dalam perlawanan itu.
“Saya tidak kata Selangor FC menang sebab nasib tetapi ini adalah kesilapan kami, kesilapan individu. Kerana ‘set-piece’ adalah elemen dalam bola sepak dan ini juga terjadi hasil daripada latihan yang dilakukan.
“Tetapi apabila pemain yang sama menjaringkan tiga gol dalam situasi yang sama, apa yang boleh saya katakan ini kesilapan kami sendiri.
“Tiada apa yang boleh saya komen tentang aksi pada hari ini (malam tadi), tetapi mengenai barisan pertahanan, jika kita lihat kita dibolosi 10 gol, empat gol berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Dua gol menentang Negeri Sembilan dan empat gol lagi malam ini. Itu sangat melampau,” katanya.
Tambahnya, ketika ini beliau akan fokus kepada sesi pemulihan pemain yang kurang cergas dan akan memastikan pemain kembali bangkit untuk mencatat kemenangan sebelum perlawanan seterusnya.
sumber: BH
Terdahulu, Terengganu FC gagal mempertahankan kelebihan satu gol yang dimenangi pada separuh akhir pertama sebelum ini apabila terpaksa menerima kekalahan selepas Selangor FC mempamerkan kebangkitan di halaman sendiri untuk menang 4-6 secara agregat untuk mara ke final Piala FA.