Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner bakal merencana strategi berbeza untuk berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.
Hal ini susulan tiga pemain tonggaknya terpaksa disisihkan berikutan kecederaan selain penggantunggan sekali gus bakal menyaksikan beberapa rombakan terpaksa dilakukan dalam misi meraih tiga mata.
“Mentaliti semua pemain saya kini berada pada tahap terbaik biarpun terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang sedikit padat selain insiden kad merah diterima pemain kami pada aksi Jumaat lalu.
“Pada masa sama saya tegaskan kepada pemain perlu memandang ke hadapan dengan lebih fokus untuk merakamkan kemenangan bagi mengutip tiga mata terutama beraksi di tempat sendiri.
“Bagaimanapun rombakan dalam kesebelasan utama terpaksa dilakukan selepas sekurang-kurangnya tiga pemain tonggak terpaksa disisihkan berikutan kecederaan dan penggantunggan perlawanan.
“Namun saya tegaskan ianya tidak sesekali merencatkan perancangan kami untuk kembali bangkit melakar kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga,” ujar Steinbruckner ketika dihubungi.
sumber: HM
Jurulatih yang memasuki musim kedua membimbing skuad TFC itu terpaksa menerima hakikat tidak dapat menurunkan penyerang importnya, Ismaheel Akinade dan pertahanan Muhammad Alif Zakaria akibat kecederaan manakala Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili digantung perlawanan susulan kad merah ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat lalu.