Lihat apa yang berlaku sebenarnya

KUALA LUMPUR: Tonggak pertahanan Terengganu FC (TFC), Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili tidak sepatutnya dihukum dengan layangan kad merah pada aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Ubaidullah didakwa menolak penyerang JDT, Bergson Da Silva pada minit ke-27 yang menyaksikan Harimau Selatan diberikan sepakan penalti.

Namun, apa yang dipertikai beberapa pihak adalah apabila pengadil, Fitri Maskon melayangkan kad merah kepada Ubaidullah selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) susulan daripada insiden terbabit.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh ketika bercakap kepada BH Sukan turut berpandangan bahawa Ubaidullah tidak sepatutnya dilayangkan kad merah.

Berdasarkan video perlawanan itu, Subkhiddin juga berpendapat bahawa insiden membabitkan Ubaidullah dan Bergson adalah cabaran atau sentuhan biasa dalam bola sepak dan tidak seharusnya diberikan penalti.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, sekiranya mahu melihat eviden atau bukti lebih jelas, video bantuan pengadil (VAR) harus ‘zoom’ insiden terbabit.

“Secara teknikal, apa yang saya lihat ia adalah sentuhan biasa dalam bola sepak dan tiada penalti. Kedua, kalau orang tak boleh terima saya katakan sentuhan biasa dalam bola sepak, dia nak kata itu satu kesalahan, ya, kita terima, tiada masalah.

“Namun, hanya penalti dan kad kuning, tiada kad merah sebab pemain itu mencabar bola atau cuba bermain bola sepak. Kita tiada bukti yang sangat jelas dan jika tiada bukti jelas, maka perlu ikut keputusan pengadil di atas padang.

“Jadi, keputusan pengadil adalah penalti, tiada kad, hanya penalti. VAR sepatutnya memahami pemain itu tidak menolak atau menarik dan VAR perlu faham bahawa ia adalah tindakan mencabar untuk dapatkan bola.

sumber: BH

“Apabila kita kata mencabar untuk mendapatkan bola, ia akan ada (sentuhan) fizikal tetapi tidak membabitkan menarik atau menolak, itu adalah normal.

“Saya lihat berdasarkan video yang ada, tapi kalau mahu lebih jelas, VAR sepatutnya zoom lihat lagi apa yang berlaku sebenarnya adakah dia ditolak atau pun kita perlu salahkan penyerang yang menarik pemain lawan,” katanya.