KUALA LUMPUR: Selepas hangat mengenai keputusan pengadil ketika aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Darul Aman, 19 Julai lalu, mutu pengadilan dalam Liga Malaysia (Liga M) sekali lagi menjadi sasaran kritikan peminat bola sepak tempatan.
Terbaharu, kecoh di media sosial apabila rata-rata peminat mempertikai tindakan pengadil, Fitri Maskon melayangkan kad merah kepada pemain Terengganu FC (TFC), Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili ketika aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Ubaidullah didakwa menolak penyerang JDT, Bergson Da Silva pada minit ke-27 yang menyaksikan Harimau Selatan diberikan sepakan penalti.
Namun, apa yang dipertikai peminat adalah apabila Fitri melayangkan kad merah kepada Ubaidullah selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) susulan daripada insiden terbabit.
Ada yang menganggap Fitri tidak sepatutnya melayangkan kad merah kerana kekasaran yang dilakukan pertahanan berusia 20 tahun itu tidak terlalu keras.
Kontroversi itu muncul selepas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Datuk S Sivasundaram mengeluarkan kenyataan susulan kritikan terhadap pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin ketika aksi separuh akhir pertama Piala FA antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan JDT, 19 Julai lalu.
Mengesahkan keputusan Muhammad Nazmi tidak memberikan sepakan penalti kepada KDA FC sebagai tepat, Sivasundaram meminta penyokong untuk menghormati keputusan yang dibuat oleh seseorang pengadil dan tidak membuat komen mengikut emosi atau tanpa memahami undang-undang bola sepak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan protokol VAR.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, penggunaan teknologi VAR dalam saingan Liga Malaysia yang bermula awal musim ini sangat membantu para pengadil dalam membuat keputusan yang tepat.
“FAM melalui Unit Pengadil diamanahkan untuk melatih setiap pengadil. Setiap insiden dan prestasi akan dinilai dan diaudit oleh panel instruktur dalaman dan dirujuk kepada instruktur FIFA terpilih dari luar negara,” kata Sivasundaram.
Berdasarkan kenyataan Sivasundaram, keputusan yang dibuat Fitri dalam perlawanan itu pasti akan dinilai dan diaudit oleh Jawatankuasa Pengadil FAM.
Selain itu, terdapat juga pihak kembali membangkitkan latar belakang Fitri yang lahir di Johor, yang mana perkara itu sudah dijelaskan FAM pada 2019.
sumber: BH
Pada 2019, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM ketika itu, Md Dali Wahid menjelaskan Fitri didaftarkan di bawah Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) sambil menegaskan tempat lahir tidak boleh dijadikan modal bagi menentukan tahap integriti seseorang pengadil.
Menurut Md Dali, FAM sebelum ini tidak pernah melantik pengadil untuk mengadili sesuatu perlawanan itu berdasarkan negeri kelahiran mereka, sebaliknya mengikut negeri di mana mereka didaftarkan.
Katanya, dalam saingan musim 2019 itu terdapat beberapa perlawanan membabitkan pasukan negeri dikendalikan pengadil kelahiran negeri itu yang didaftarkan bersama persatuan bola sepak negeri lain.
Antaranya adalah Mohd Amirul Izwan Yaacob mengadili perlawanan membabitkan negeri kelahirannya, Kedah yang bertemu PKNS FC, Razlan Joffri Ali (Terengganu) menentang Perak dan Nazmi Nasaruddin (Kuala Lumpur) berdepan Pahang.
Berdasarkan laporan, nama Fitri hangat pada 2019 selepas mengadili aksi Liga Super antara JDT dengan FELDA United di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin yang menyaksikan tiga layangan kad merah terhadap pemain The Fighters selain lapan minit masa tambahan diberikan.