Sedia gempur JDT

TERENGGANU FC (TFC) optimis mampu mencuri mata ke atas juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim dalam aksi Liga Super malam ini biarpun tanpa kelibat kapten, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, mereka akan turun dengan corak permainan positif biarpun kehilangan dua tonggak pinjaman pinjaman daripada skuad Harimau Selatan itu.

“Saya tetap menyiapkan pasukan beraksi dengan cara kami walaupun bertemu lawan sekuat JDT. Benteng pertahanan dan tengah telah diperkemaskan untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Berdasarkan kedudukan Liga Super dan prestasi semasa, pertembungan JDT dan TFC dijangka sengit dengan kedua-dua pasukan masih kekal tanpa kalah termasuk dalam Piala FA.

Sekiranya mencapai keputusan positif, ia akan membantu TFC kembali ke tangga kedua bagi mengekori rapat skuad Harimau Selatan yang kini gah menerajui takhta Liga Super.

Steinbruckner berkata, skuad Penyu tidak akan turun dengan corak bertahan, sebaliknya akan menggempur gawang JDT untuk memburu mata berharga sambil mengharapkan pemain yang menggantikan posisi Safawi dan Akhyar dapat beraksi cemerlang.

“Saya juga berharap benteng pertahanan dapat meningkatkan prestasi setelah dilihat agak goyah sewaktu menentang Selangor dalam aksi separuh akhir Piala FA minggu lalu,” katanya.

SUMBER:-KOSMO

Dalam masa sama, Steinbruckner memberitahu, TFC bakal berkunjung ke Iskandar Puteri tanpa pertahanan tengah Harimau Malaya, Safwan Mazlan kerana kecederaan hamstring, namun seorang lagi pemain pinjaman JDT, Azam Azmi Murad dibenarkan beraksi.