Jual harga rahmah

London: Manchester United dilapor sedia menjual Aaron Wan-Bissaka dengan harga lebih rendah bagi menggantikannya dengan pemain Bayern Munich Noussair Mazraoui.

Pemain Inggeris itu dikaitkan dengan West Ham membabitkan yuran perpindahan 15 juta pound (RM90.8 juta) seperti dilapor media pada awal bulan ini.

Menurut wartawan Sky Sports, Florian Plettenberg harga itu kemudiannya dikurangkan kepada 10 juta pound (RM60 juta). Katanya, United kini mahu mendapatkan Mazraoui yang turut menarik perhatian Hammers.

Wan-Bissaka ditandatangani dengan harga 50 juta pound (RM302 juta) dari Crystal Palace pada 2019. Dengan hanya dua trofi kejohanan piala dan 129 penampilan bersama kelab, ramai berpendapat ia tidak berbaloi dengan tanda harganya.

Pemain berusia 26 tahun itu hanya tampil 22 aksi liga tahun lalu susulan masalah kecederaan dan masa depannya di Old Trafford tampak bakal berakhir selepas kelab mahu mendapatkan Mazraoui.

sumber: HM

Mazraoui yang berpindah ke Bayern Munich dari Ajax dengan yuran percuma pada 2022 masih berbaki dua tahun kontrak dan tampil 19 aksi Bundesliga musim lalu.