pengalaman dan peluang berharga untuk masa depan kerjayanya

KUALA LUMPUR: Penyerang muda sensasi, Arif Aiman Hanapi tidak menganggap lilitan kapten pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai beban buat dirinya beraksi di atas padang.

Pemain berusia 22 tahun itu diberikan tugas sebagai kapten Harimau Selatan ketika aksi separuh akhir pertama Piala FA berdepan Kedah Darul Aman (KDA) di Stadium Darul Aman, Jumaat lalu.

Malah, dia yang juga pemain kebangsaan menyifatkan tanggungjawab besar yang dipikul dalam perlawanan penting itu sebagai pengalaman dan peluang berharga untuk masa depan kerjayanya.

“Saya berasa satu penghargaan buat saya untuk jadi kapten JDT. Saya tak anggap itu beban, tapi saya anggap itu peluang berharga dalam karier saya untuk masa akan datang,” katanya dalam video yang dikongsikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

JDT meraih kemenangan 2-1 dalam perlawanan itu hasil jaringan Romel Morales pada masa kecederaan selepas Habib Haroon memadam kelebihan jaringan pertama JDT yang diledak Oscar Arribas.

Kedua-dua pasukan akan bertembung dalam perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, 4 Ogos depan dengan Harimau Selatan memiliki peluang lebih cerah untuk ke final.

sumber: BH

Mengulas mengenai perlawanan itu, Arif menjelaskan pasukannya beraksi dengan baik dan mencipta banyak peluang, namun tidak berjaya melakukan penyudah lebih berkesan.

“Kami akan perbaiki untuk aksi kedua di Stadium Sultan Ibrahim. Saya bangga dengan semua pemain, kami mendapat gol minit akhir dan ia kemenangan yang baik untuk dibawa ke Johor,” katanya.